Fikir Betul-betul, KWSP Dedah 71 Peratus Pencarum Aktif Hanya Ada Kurang RM50 Ribu Dalam Akaun 1

6Sejak dari minggu lepas, ada beberapa golongan rakyat yang merayu untuk membuat pengeluaran dalam akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi menampung kehidupan disebabkan pandemik Covid 19.

Menerusi laporan Astro Awani, Ketua Pegawai KWSP, Alizakri Alias mengatakan 71 peratus daripada ahli aktif dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mempunyai kurang daripada RM50,000 dalam simpanan mereka.

Berdasarkan kajian itu bermakna mereka hanya mempunyai RM208 sebulan jika mengambil kira 20 tahun kehidupan selepas bersara.

Tambah beliau, melihatkan jumlah tersebut, wang simpanan mereka sebenarnya tidak mencukupi untuk menjalani kehidupan yang selesa selepas tidak lagi bekerja.

“Secara purata dalam Akaun 1, ahli kita mempunyai sebanyak RM47,000 dalam Akaun 1. Kebanyakan daripada ahli yang kurang daripada 30 tahun, ahli yang muda, secara purata mereka mempunyai hanya RM10,000 dalam Akaun 1.

“Itu bukanlah jumlah yang banyak, kalau kita campur dengan Akaun 2, ahli kita mempunyai RM13,000 dalam Akaun 2 dan bagi mereka yang bawah 30 tahun,hanya mempunyai RM4,000 dalam Akaun 2.

“Jadi simpanan mereka tidaklah begitu banyak,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Astro AWANI pada Sabtu.

Dalam pada itu, satu lagi statistik membimbangkan ialah hanya satu daripada tiga pencarum mampu mencapai simpanan asas berjumlah RM240,000 ketika bersara.

“Daripada itu, selepas mereka bersara dan mengeluarkan duit daripada KWSP, satu daripada dua ahli KWSP akan menghauskan simpanan mereka dalam masa lima tahun.

“Di Malaysia, sebagai anggaran, jangka hayat kita 75 tahun. Jadi kalau kita keluarkan duit pada 55 tahun, dan hauskan duit sebelum mereka sampai umur 60 tahun, jadi mereka mempunyai, sebagai anggaran, 15 tahun lagi untuk jangka umur mereka untuk tempuhi,” ujarnya.

Isnin lalu, Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta kerajaan mempertimbangkan lagi cadangan pengeluaran wang daripada Akaun 1 KWSP.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata kerajaan boleh membenarkan pengeluaran duit dengan mengehadkan secara one-off sehingga RM10,000 daripada akaun tersebut.

Begitupun, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat menegaskan Akaun 1 KWSP adalah untuk simpanan masa depan.

Menurutnya, sekiranya kerajaan membenarkan pengeluaran sehingga RM10,000 buat masa ini, ia akan memberi masalah lebih besar kepada pencarum pada masa akan datang.

 

Sumber via yoy network

Facebook Comments

Be the first to comment on "Fikir Betul-betul, KWSP Dedah 71 Peratus Pencarum Aktif Hanya Ada Kurang RM50 Ribu Dalam Akaun 1"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*